Halaman

27 April 2012

Piala FA - Mat Zan optimis Terengganu layak ke final

Oleh FAUZI MOHD

Pengendali skuad Terengganu, Mat Zan Mat Aris yakin skuad Penyu layak ke pusingan akhir Piala FA untuk mempertahankan kejuaraan bagi dua tahun berturut-turut.

Sehubungan itu beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik apabila bertemu Sime Darby dalam separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya 1 Mei nanti.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama, Terenggganu kalah 1-2 kepada Sime Darby.

"Saya menaruh harapan dengan kemampuan pemain saya kerana saya melihat mereka kembali mendapat sentuhan dan prestasi yang memberangsangkan ketika menewaskan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An 6-2 dalam cabaran Piala AFC di sini malam tadi.

"Semua pemain diharap waspada dan saya akan kerah mereka bagi menebus maruah Terengganu yang telah tercalar (setelah kalah kepada Sime Darby). Kita mahu mempertahankan kejuaraan Piala FA," katanya kepada pemberita semalam.

Mengulas mengenai kejayaan Terengganu itu, Mat Zan berkata, beberapa pengubahsuaian pemain telah dirombak bagi mengatasi persembahan hambar dalam beberapa perlawanan Piala AFC sebelum ini.

Penolong pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, kebangkitan Terengganu ada kaitan dengan nasihat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

"Kita tidak mahu menghampakan Menteri Besar kerana beliau merupakan peminat bola sepak nombor satu di mana beliau telah memberikan suntikan semangat kepada pemain-pemain supaya bangkit daripada persembahan hambar," katanya.