Halaman

28 April 2012

Projek Industri Perikanan Komuniti Besut terbaik di negara ini



Oleh: Mohammad Ishak

Projek Industri Perikanan Komuniti Besut yang beroperasi di persisiran Pantai Air Tawar,Besut, menjadi model kepada industri ternakan negara ini apabla ia mampu menghasilkan pengeluaran ikan dan menambah pendapatan peserta.

Projek yang dibangunkan sejak dua tahun lalu dengan kerjasama Jabatan Perikanan bertujuan meningkatkan sumber akuakultur selain melatih nelayan dalam industri berkenaan.

Ketika ini 80 peserta terdiri daripada nelayan tempatan terbabit secara langsung dalam industri yang turut mendapat dana dari KerajaanPersekutuan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur, Jabatan Perikanan Malaysia, Nik Ab Wahab Mat Diah berkata,bagi menjayakan projek terulung di negara ini kerajaan memperuntukkan RM3 juta kepada pusat komuniti itu.

Katanya, projek itu membekalkan benih kerapu dan siakap kini mampu menghasilkan benih untuk dieksport ke luar negara.

Menerusi kaedah menggunakan induk Kerapu Hidbrid untuk disenyawakan bagi mendapatkan benih kerapu ia berjaya memberi pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada peserta projek.

 “Melalui dana berkenaan juga Jabatan Perikanan kini berjaya mempertingkatkan sumber pengeluaran benih berteknologi tinggi,” katanya ketika melawat projek itu semalam.

Beliau berharap peserta projek terus kekal menjalankan aktiviti berkenaan kerana ia dapat menyelamat bagi menjamin bekalan sumber ikan yang semakin berkurangan di negara ini.