Halaman

25 April 2012

Sidang DUN: Dato' Rosol minta tarik balik amanat Haji Hadi

Oleh: Suriati Ali

Dato Rosol Wahid (BN-Ajil)memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN, semalam dengan meminta Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengembalikan semula perpaduan umat Islam negara ini dengan menarik balik amanat Haji Hadi yang dikeluarkan pada tahun 1982.

Menurut Rosol, Ahli Parlimen Marang itu perlu turun ke semua kawasan yang masih lagi mengamalkan dua solat Jumaat dalam satu qariah dan memperbetulkan keadaan kerana semua itu dikatakan berpunca daripada amanat Hadi di Panggol Peradong.

“Bersetuju atau tidak, saya bagi pandangan dalam dewan ini oleh kerana perpecahan itu bermula dari Pas, kita minta wakil Rhu Rendang pergi ke kawasan-kawasan yang masih berlaku perpecahan dan tarik balik amanat itu.

“Kalau setuju kita minta keputusan dewan,” katanya ketika Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Cadangan itu kemudiannya disokong Muhammad Ramli kerana menganggap perpecahan sudah sekian lama berlarutan ekoran sikap penyokong pembangkang enggan berimamkan dan gunakan khidmat jurunikah dilantik oleh kerajaan.

Keengganan itu didorong oleh fatwa dikeluarkan pemimpin mereka yang mengatakan berimamkan orang UMNO tidak sah.

“Kita setuju sangat, sudah lama kita minta dia (Abdul Hadi) pergi demi perpaduan Islam, molek saya setuju,” katanya.