Halaman

25 April 2012

Sidang DUN : Kerajaan bina 1,201 unit rumah 2008-2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berjaya menyiapkan 1,201 unit rumah Rumah Mampu Milik (RMM) dan Rumah Kos Rendah di seluruh Terengganu bermula 2008 hingga tahun lalu.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata sepanjang tempoh itu, lima projek RMM melibatkan 678 unit, manakala selebihnya menerusi tiga projek RKR.

“Jumlah keseluruhan 1,201 unit rumah berkenaan masih belum diagihkan kerana sebahagiannya belum mendapat Sijil Perakuan menduduki Bangunan (CF) manakala sebahagiannya lagi sedang dalam proses mendapatkan CF,” katanya ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Dato’ Harun Taib (Pas-Manir) di persidangan Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri bercadang membina kira-kira 10,000 unit RMM dan RKR dalam tempoh lima tahun yang melibatkan 43 projek dengan kos RM700 juta bermula 2008 hingga 2013.

“Daerah Kemaman melibatkan 1,451 unit yang sedang dijalankan dan projek baru sebanyak 500 unit akan dimulakan bulan depan, di Kuala Terengganu sebanyak 2,374 unit dan jumlah itu tidak termasuk 1,002 unit yang dibina oleh Kerajaan Pusat di Padang Hiliran. Daerah Besut pula 1,245 unit, Setiu (133 unit), Marang (383 unit), Dungun (1,133 unit) dan Hulu Terengganu (626 unit).

“Jumlah itu menjadikan tambahan 6,937 unit yang dicampur dengan 408 unit (perumahan Ladang Tok pelam) dengan jumlah sebenar 7,345 unit dan terbaru tambahan 1,100 unit yang baru dikeluarkan bulan lalu. Keseluruhannya sebanyak 8, 445 unit rumah yang akan dibangunkan di Terengganu ," katanya.