Halaman

24 April 2012

Sidang Dun: Kerajaan sedia terima penarikan amanat Hadi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersedia menerima penarikan semula amanat yang pernah dibuat bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) berhubung isu berimamkan orang Umno tidak sah sehingga mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat berkata kerajaan negeri bersikap terbuka dan sedia menerima wakil Rhu Rendang untuk membetulkan perkara yang terkandung dalam amanat beliau di Banggol Peradong pada 1982 berhubung isu itu.

 “Sehingga kini, pihak kami tidak memperolehi maklumat rasmi mengenai perkara (menarik balik amanat) itu. Bagaimanapun, amat baik sekali lah jika wakil Rhu Rendang cuba membetulkan semula perkara ini kerana mengikut laporan yang diterima daripada Maidam (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) mengenai dua sembahyang Jumaat dalam satu mukim, sebahagian besar yang ditemui (penyokong Pas) dan berbincang mengatakan mereka terikat dan terikut dengan apa yang difatwa oleh pemimpin (Abdul Hadi) mereka pada masa lalu," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-12, pada hari kedua, pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Haji Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mengenai ada maklumat yang menyatakan pihak kerajaan sudah berbincang dengan pemimpin Pas bahawa Abdul Hadi bersetuju ke Hulu Besut bagi menarik semula amanat berkenaan.

 Usaha atasi isu dua solat-satu kariah

 “Sebenaranya sudah banyak usaha-usaha yang sudah dilaksanakan kerajaan termasuklah dengan memberi penerangan mengenai hukum mengadakan dua solat Jumaat dalam satu kariah dan fatwa sudah dikeluarkan pada 1981 mengenai satu kes yang berlaku di Terengganu.

 “Selain itu kerajaan juga melihat dan menyiasat perkembangan masjid-masjid tersebut dan apabila ada syarat-syarat yang mencukupi untuk diluluskan..ada setengah-setengah masjid sudah diberikan kelulusan untuk dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat walaupun dalam satu kampung apabila kampung itu besar, penduduk ramai dan sebagainya,” katanya yang juga wakil BN-Batu Rakit.

Selain itu, Haji Khazan menjelaskan Maidam menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyatuan Jumaat dalam satu mukim melibatkan panel yang dilantik dari satu pasukan khas yang bebas. Katanya, Jawatankuasa yang dilantik terdiri dari pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) bagi membuat kajian terperinci mengenai punca serta cadangan yang boleh dipertimbangkan bagi menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata, mengikut Mazhab Shafie apabila berlaku dua sembahyang Jumaat dalam satu kampung, masjid yang diberi pengiktirafan dan diperakukan oleh kerajaan itulah yang sah.

 “Bagaimanapun, secara umum, dalam keadaan tiada pengiktirafan dan sebagainya, mana-mana yang dulu itulah yang sah. Sebab itulah satu masa dulu sebelum fatwa dan penjelasan dibuat mereka berlumba untuk mengadakan sembahyang Jumaat dengan cepat, supaya mereka dapat buktikan sembahyang mereka sah kerana sembahyang dulu (pertama).

 “Yang kedua, jawatankuasa ini baru diwujudkan, sebahagian hasil perbincangan dan kajian belum sesuai untuk dibentangkan dalam sidang dewan kali ini,” katanya.

 Ketika wakil kerajaan memfokuskan kepada isu itu, Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengemukakan soalan tambahan yang `terkeluar’ daripada soalan yang diperbincangkan, iaitu mengenai masalah pelajar sekolah rendah dan menengah di Terengganu yang tidak tahu cara bersolat.

 “Inilah Wakil Wakaf Mempelam, dia pandai bercakap Yang Dipertua..Dia bercakap yang kita tidak fokus tetapi dalam kita bincang mengenai dua solat Jumaat dalam satu kariah, dia gi baham soal budak tidak reti sembahyang. Mana fokusnya? Ini orang panggil,` tunjuk ke orang lain,tetapi hok diri sendiri banyok saloh’ `kuman seberang laut nampak, tapi gajoh depan mata tidak nampak’. Jadi kena fokus molek.Tiada masalah bincang di dewan..pelajar-pelajar duduk memerhati (pemerhati) jadi tunjuklah cara kita yang bijaksana," katanya.

Sementara Haji Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) turut mencelah supaya Abdul Wahid lebih fokus kerana isu dua solat Jumaat itu penting dan terkandung dalam titah tuanku.