Halaman

26 April 2012

Tabung Penyakit Kronik beri manfaat kepada 1,204 pesakit

Oleh: Suriati Ali

TABUNG Penyakit Kronik yang ditubuhkan kerajaan negeri sudah membelanjakan sejumlah RM1.8 juta sejak dua tahun lalu serta memberi manfaat kepada 1,204 pesakit anak Terengganu yang kurang berkemampuan dan memerlukan rawatan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata sebanyak RM551,300 disalurkan kepada pesakit yang menghidap komplikasi jantung, RM533,395 bagi pesakit buah pinggang dan RM328,188 untuk merawat pesakit barah.

Beliau menjawab soalan Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) mengenai jumlah pesakit yang mendapat faedah daripada Tabung Penyakit Kronik dan jumlah bantuan yang dikeluarkan sehingga kini.

“Ada juga permohonan beberapa individu yang terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan oleh dana dan kerajaan negeri,” katanya sambil menambah tabung berkenaan diwujudkan atas kesedaran kerajaan membantu mengurangkan penderitaan dan bebanan rakyat yang memerlukan perhatian segera, terutama yang berdepan penyakit kritikal.

Beliau berkata, rayuan itu biasanya dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta, pemimpin masyarakat, malah ada yang memohon terus dengan kerajaan negeri.

“Tidak kurang juga kisah malang mereka mendapat liputan akhbar tempatan dan media elektronik merayu simpati dan bantuan orang ramai,” katanya.

Yahya berkata, walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan menyediakan pelbagai skim bantuan untuk golongan miskin dan memerlukan, namun peruntukannya agak terhad.

“Menyedari kelemahan itu, kita mengambil langkah segera dengan menubuhkan tabung ini yang boleh dinikmati seluruh rakyat yang layak dan ia boleh dipohon melalui pemimpin di kawasan masing-masing,” katanya.