Halaman

27 April 2012

Terengganu negeri terawal iktiraf mufti setaraf Exco

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu merupakan antara negeri terawal yang telah menaikkan kedudukan mufti setaraf dengan ahli Exco kerajaan negeri sejak 2006 selain Perak dan Negeri Sembilan.

Bekas Mufti Terengganu, Dato' Ismail Yahya ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau adalah mufti pertama yang dinaikkan taraf sama seperti Exco kerajaan negeri Terengganu yang mana kerajaan negeri ketika itu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh.

Menurutnya, beliau mula dilantik sebagai mufti bermula April 2006 sehingga Mac 2008 selepas dipinjamkan sementara daripada jawatan asalnya sebagai Ketua Hakim Syarie Terengganu.

"Setelah tamat perkhidmatan sebagai mufti pada Mac 2008, saya kembali ke tugas asal sebagai Ketua Hakim Syarie negeri sehingga sekarang," katanya semalam.

Beliau diminta mengulas usul Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia semalam untuk menaikkan kedudukan mufti agar setaraf dengan ahli Exco kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom berkata, mufti akan menerima taraf, skim gaji dan pelbagai kemudahan yang dinikmati ahli Exco kerajaan negeri masing-masing.

Menurut Ismail, sewaktu menjadi mufti beliau menerima pelbagai kemudahan termasuk elaun penerbangan, elaun luar negara, kemudahan kenderaan dan sebagainya yang menyamai kemudahan yang dinikmati Exco kerajaan negeri.

"Daripada segi gaji mungkin berbeza kerana ia berdasarkan skim gaji mengikut gred semasa pegawai kerajaan. Tetapi ketika majlis-majlis rasmi kedudukan mufti adalah setaraf dengan ahli Exco kerajaan negeri," jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan sentiasa mematuhi segala arahan termasuk pekeliling jabatan yang dikeluarkan kerajaan Pusat termasuk soal kedudukan mufti.