Halaman

24 April 2012

Terengganu tampil formasi baru

Oleh FAUZI MOHD

Penyokong pasukan bola sepak Terengganu dinasihatkan supaya bersikap rasional dan tidak membuat keputusan mengikut emosi sehingga sanggup melakukan bantahan dan menyerang kediaman Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berikutan kemerosotan skuad Penyu sejak kebelakangan ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, tindakan mereka (penyokong) itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain dan juga pihak pengurusan dalam menghadapi perlawanan penting dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan juga Piala FA.

Justeru, beliau mengharapkan penyokong dapat bersabar dan memberikan sokongan yang berterusan kepada pasukan Terengganu serta tidak melakukan perkara-perkara yang tidak diingin sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Walaupun kita tewas 2-1 ketika menentang Sime Darby itu bukan bermakna kita sudah tidak ada mempunyai peluang di tempat lawan, seperti yang saya selalu kata dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku.

 “Saya akui ketika ini berlaku sedikit kemerosotan dalam pasukan kita terutamanya dalam jumlah jaringan gol dan insyallah setelah kita mengadakan perbincangan hari ini (semalam) beberapa perubahan akan dilakukan termasuk dari segi corak permainan, formasi, tektikal, pemilihan pemain dan sebagainya,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi perbincangan bersama pengurusan PBSNT di pejabatnya di Wisma Darul Iman hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat, Presiden PBSNT, Dato’ Che Mat Jusoh dan Timbalannya, Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof.

Dalam pada itu, Ahmad juga memaklumkan bahawa ketika ini pasukan Terengganu mempunyai senarai pemain yang terhad memandangkan ramai tonggak utama mengalami kecederaan antaranya termasuklah kapten pasukan, Marzuki Yusof, Reeshafiq Alwi, Ahmad Nordin Alias dan terbaru Abdul Manaf Mamat.

 “Jadi pada ketika ini kita hanya bersandarkan pemain yang sedia ada, walaupun pada peringkat permulaannya kita mempunyai barisan pemain yang cukup sempurna dan mantap dalam semua posisi.

“Saya yakin selepas perbincangan yang diadakan bersama pihak pengurusan PBSNT kita mampu meningkatkan kembali prestasi pasukanTerengganu dalam saingan kempen Liga Malaysia terutamanya untuk melayakkan dirike pentas final Piala FA,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya pasukan Terengganu masih masih mempunyai ruang untuk berbuat sesuatu dan sekiranya berjaya menggunakan formasi baru ketika menentang kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe.

Sementara itu, Dato’ Che Mat ketika diminta mengulas berhubung desakan penyokong yang memintanya meletakkan jawatan, tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya mahu memberikan perhatian kepada dua perlawanan penting (Piala AFC & Piala FA ) dan terus memimpin skuad Penyu.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin beliau harus bersama pasukannya tak kala pasukan berada dikemuncak kejayaan ataupun sebaliknya.

“Saya tidak mahu perkara seperti ini (desakan penyokong) membunuh moral pemain sebalik memberi keyakinan kepada mereka untuk terus bangkit seterusnya mencapai kemenangan pada perlawanan esok,” katanya.