Halaman

26 April 2012

To’ Puan Hajah Zaitun dilantik sebagai Ahli Dewan Negara

Oleh: Suriati Ali

Sidang Dewan undangan Negeri (DUN) semalam bersetuju melantik To’ Puan Hajah Zaitun Mat Amin sebagai Ahli Dewan Negara.

Calon yang dicadangkan YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman (BN-Seberang Takir) itu mempunyai pengalaman hampir 25 tahun dalam bidang politik serta aktif memegang pelbagai jawatan dalam persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan sukarelawan.

To’ Puan Zaiton yang pernah dianugerahkan Pingat Jasa Mangku Negara (AMN) dan Pingkat Pangkuan Negara menganggap pencalonannya sebagai Ahli Dewan Negara sebagai tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin.

Di samping itu, beliau berazam akan membawa agenda serta penyampaikan suara rakyat kepada kerajaan.

“Syukur dan terima kasih kepada barisan kepimpinan kerajaan Terengganu kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan ini yang dianggap bukan mudah untuk dipikul,” katanya ketika di temui pemberita di luar sidang DUN.

To’ Puan Hajah Zaitun merupakan anak kelahiran Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu. Sudah berkeluarga dan mempunyai enam cahaya mata.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin.

Disebabkan meminati bidang politik dan memilki sifat amanah, beliau turut diberi kepercayaan memegang 25 jawatan dalam pelbagai persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan sukarelawan.

Antaranya dilantik menjadi bendahari, Bendahari Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu; Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagia Marang; Pengerusi Skuad Sayang Wanita Negeri Terengganu dan Pengerusi Biro Ekonomi & Kewangan Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu.