Halaman

06 April 2012

Umno jaga rakyat – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Murninya perjuangan Umno, walaupun sering dimaki dan dicaci dengan pelbagai tuduhan dan gelaran, kita tetap beri bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik,” itu kata-kata yang biasa diutarakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap pada majlis bersama rakyat.

Memperincikan kata-kata itu, rakyat Terengganu boleh dikatakan amat bertuah kerana mereka sentiasa mendapat bantuan yang jauh lebih banyak berbanding penduduk negeri-negeri lain.

Jika tahun ini rakyat seluruh negara, termasuk di Terengganu mendapat bantuan Kerajaan Pusat RM100 bagi semua pelajar, penduduk negeri ini turut mendapat ‘bonus’ bantuan antara RM100 hingga RM200 untuk membeli pakaian seragam sekolah, sumbangan kerajaan negeri.

Di Terengganu, setiap pelajar yang berjaya masuk ke sekolah asrama penuh diberi bantuan RM500 manakala bantuan persediaan pelajar ke peringkat universiti dan institusi pengajian tinggi pula berjumlah RM1,000 untuk ijazah, diploma (RM700) dan sijil (RM500).

Semua pelajar dari Tahun Empat hingga Tahun Enam di negeri ini diberi e-Book secara percuma di mana hanya Negeri Terengganu saja yang berbuat demikian.

Menteri Besar menyediakan peruntukan yang besar pada setiap tahun bagi menggantikan atap rumah penduduk kampung yang bocor kerana masalah itu sering dikaitkan dengan kesusahan rakyat.

Mulai tahun 2010, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi menubuhkan Tabung Penyakit Kronik di mana penduduk tempatan yang menghidap penyakit kronik dibiayai kos rawatan untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Melalui Tabung Darul Iman pula, mulai 2009 hingga November 2011, seramai 7,579 orang mendapat manfaat daripada tabung itu melibatkan perbelanjaan RM6.37 juta.

Tahun ini kerajaan negeri mencarumkan RM5 juta lagi kepada Tabung Darul Iman di mana RM2 juta digunakan untuk bantuan sosial perubatan iaitu membantu pesakit yang kurang mampu membiayai kos rawatan perubatan atau pembelian peralatan perubatan.

Sesuai dengan sikapnya yang begitu cakna kepada mereka yang ditimpa musibah, Menteri Besar tetap meluangkan masa untuk melawat mereka yang terlantar sakit di rumah masing-masing di seluruh negeri.

Kadang-kadang dalam kesibukan tugas harian, beliau meluangkan masa untuk melawat mangsa yang mengalami kes ragut, disimbah asid atau kemalangan lain yang dimasukkan ke hospital.

Menjelang Aidilfitri pula, dana khas Hari Raya dikeluarkan bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah membeli keperluan bagi menyambut hari lebaran.
Di sesetengah kawasan, Menteri Besar akan ‘turun padang’ mengagih-agihkan dana tersebut kepada rakyat.

Manakala masyarakat Tionghua yang layak turut berpeluang menikmati bantuan khas RM300 setiap orang, setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.

Dengan kesungguhan beliau membela nasib rakyat dan kesederhanaannya sejak dahulu hingga sekarang, tidak hairanlah jika sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional semakin meningkat.

Bagi membalas sokongan rakyat itu, kerajaan BN pimpinan Dato’ Seri haji Ahmad akan terus merancang pelbagai program bagi kesejahteraan dan kepentingan rakyat Terengganu.

Di mana-mana saja, setiap kali ucapannya, Menteri Besar pasti tidak lupa menyampaikan kata-kata keramat ini, “Kerajaan tidak pernah minta rakyat menebas, buat macam-macam kerja berat. Cuma satu saja yang kita minta dari rakyat, UNDILAH BN BILA TIBA PILIHAN RAYA”.