Halaman

30 April 2012

YIM jejak produk orang kampung


Oleh: Suriati Ali


Pendekatan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menjejaki pelbagai produk inovasi di kalangan masyarakat akar umbi sewajarnya dipuji kerana mampu memartabatkan produk itu ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Inovasi) Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Dato’ Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad,berkata jejak inovasi telah berjaya melibatkan interaksi rapat di antara kumpulan penjejak dan masyarakat.

Katanya, kumpulan penjejak inovasi yang terdiri daripada individu berpengalaman dan berpengetahuan teknikal bertindak sebagai mentor di mana mereka secara sukarela memberi nasihat serta pendapat bagaimana mempertingkat mutu produk yang dimiliki pengusaha.


“Di Terengganu, sebanyak 40 inovasi berjaya dikenalpasti antaranya dari Pulau Duyong, Kampung (Kg) Bukit Tok Beng, Kg Bukit Wan, Kg Mengabang Bakong, Kg Mengabang Telipot dan beberapa lagi individu berjaya.

“Antara inovasi yang ditemui adalah sistem ternakan ketam kulit lembut, kaedah memproses keropok lekor, pembuatan bot tradisional, tepung ubi gadong dan pengeluaran makanan hidup untuk akuakultur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jejak Inovasi Terengganu 2012 di Perbadanan Perpustakaan Awam, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, semalami.

Program yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) Hajah Nor Akmal Abdul Fatah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Menurutnya, pihaknya mengiktiraf lima inovator atau pengusaha terbaik, jika produk itu menampakkan hasil untuk dikomersialkan, ia akan sentiasa dipantau dengan dimasukkan ke dalam Program Laluan Laju.

Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata usaha membudayakan inovasi sewajarnya bermula di peringkat awal persekolahan lagi supaya mudah bagi mereka menerima dan mempratikkan apa yang diterapkan.

“Terengganu tidak mahu ketinggalan dalam membudayakan inovasi, kita telah usahakan pelbagai pendekatan, termasuk penggunaan Program TB-Kids oleh kanak-kanak di Taska Permata Keluarga dan juga kanak-kanak di tabika.

“Tidak ketinggalan, pemberian e-Book kepada pelajar Tahun 4 dan Tahun 5, pelajar di beberapa sekolah di Terengganu kini berpeluang menimba ilmu menggunakan konsep kelas maya,” katanya.



No comments: