Halaman

31 May 2012

102 terima Geran Teman 1Azam

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 102 wanita yang berkecimpung dalam perniagaan kecil di negeri ini dibantu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi pemberian geran berbentuk peralatan perniagaan di bawah program Teman 1Azam.



Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, peralatan keperluan perniagaan itu termasuk kelengkapan berniaga burger, andaman, dobi, menjahit dan gunting rambut.

Menurutnya, fasa permulaan itu melibatkan semua empat program iaitu Azam Tani, Azam Niaga, Azam Kerja dan Azam Khidmat.

“Program yang berteraskan konsep keusahawanan sosial itu menawarkan bantuan barangan perniagaan dengan kadar maksimum RM5,000 seorang.



“Selain itu, mereka turut dipertimbangkan bagi memohon pinjaman kewangan melalui skim pinjaman mikro di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia," katanya pada majlis penutup Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia di Pasar Awam Binjai Rendah, Marang hari ini.

Program penutup itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Tan Sri Napsiah Omar.

Geran Teman 1Azam itu adalah salah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantu golongan wanita dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.

Menurut Dato’ Yahya, usaha kerajaan memperkenalkan program itu merupakan strategi bagi menggalakkan golongan tersebut berdikari menerusi bidang keusahawanan.

"Program ini mampu membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan terbukti sebelum ini ramai peserta berjaya meningkatkan jumlah pendapatan antara RM500 sehingga RM700 sebulan," jelasnya.