Halaman

14 May 2012

500 penduduk DUN Jertih dapat cermin mata percuma

Orang ramai menyerbu kaunter pendaftaran untuk mendapatkan cermin mata percuma

Oleh: Mohammad Ishak 

Pemberian kaca mata secara percuma kepada penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih mendapat sambutan luar biasa apabila ramai yang mengambil peluang untuk mendapatkannya daripada pihak penganjur.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jertih itu ditawarkan kepada semua golongan termasuk pelajar,ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), remaja,wanita dan warga emas.

Program dengan kerjasama sebuah syarikat pembekal kaca mata terkenal Optometris Sanadi Sdn Bhd itu bertujuan memberi kemudahan kepada golongan berkenaan untuk mendapatkan cermin mata bagi kegunaan harian.

ADUN Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program yang bermula sejak jam 8 pagi dan berakhir jam 3 petang itu memberi manfaat kepada 500 penduduk yang datang mendaftar dan membuat pemeriksaan mata sebelum mereka diberikan cermin mata berkenaan.

Katanya,sambutan yang menggalakkan itu membuktikan golongan berkenaan memerlukan bantuan daripada pihak tertentu untuk mereka. “Program ini akan diteruskan lagi bagi membolehkan mereka yang memerlukan cermin mata mendapat kemudahan berkenaan,” katanya.

Idris yang juga Pengerusi Mara berkata, beliau berterima kasih kepada syarikat berkenaan yang sedia bekerjasama dengan pejabat penyeleras DUN terbabit bagi membantu orang ramai.

Katanya, pihaknya akan mengadakan lebih banyak program berbentuk khidmat komuniti bagi membantu golongan yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan.