Halaman

21 May 2012

‘Bapa Angkat’ turun padang bertemu rakyat Tangga Batu

Oleh FAUZI MOHD

“Wajah yang saya lihat di Tangga Batu bukan sekadar mampu mengekalkan kemenangan 100 peratus di kerusi Parlimen dan empat DUN, malah di sinilah juga kubu yang cukup teguh buat Barisan Nasional,” kata Dato’ Seri Ahmad Said.



Rumusan itu dibuat Menteri Besar yang juga ‘Bapa Angkat’ kepada UMNO Bahagian Tangga Batu, Melaka setelah mengakhiri program sehari di parlimen itu, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu, jentera Barisan Nasional (BN) di Tangga Batu telah menyatakan kesiap-siagaan mereka menunggu tarikh pembubaran parlimen dan DUN untuk berdepan pilihan raya umum ke-13.



“Saya telah diberi taklimat daripada UMNO bahagian Tangga Batu termasuk pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Perasaan mereka juga sama dengan bahagian-bahagian lain, sudah bersedia untuk hadapi PRU ke-13,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera PIlihanraya Jalinan Rakyat Parlimen Tangga Batu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gelam, Tanjung Keling, Melaka.



Turut hadir, Ahli Parlimen Tangga Batu yang juga Ketua UMNO Bahagian berkenaan, Dato’ Wira Ir. Idris Haron, ADUN Sungai Udang, Datuk Yaakob Md. Amin, ADUN Pantai Kundur, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan ADUN Paya Rumput, Datuk Tahir Hassan.



Pada majlis itu, seramai 114 veteran UMNO Tangga Batu turut menerima sijil dan cenderamata penghargaan atas jasa serta sumbangan mereka kepada parti yang disampaikan Dato’ Seri Ahmad.

Sebelum itu, beliau yang disertai isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud menyertai majlis makan tengah hari di Coconut Shake Klebang Besar Melaka bersama kepimpinan UMNO Tangga Batu.

Dato’ Seri Ahmad turut mengakui keberkesanan program turun padang yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan dan parti dalam mendekati kehidupan sebenar rakyat negara ini.

“Peluang bertemu rakyat yang berkonsep tinjauan mesra itu juga memberi impak besar dalam usaha pemimpin untuk bertindak terhadap setiap rintihan dan masalah rakyat,” ujarnya.