Halaman

15 May 2012

GLC diarah bayar zakat perniagaan

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diminta menyenaraikan nama syarikat milik kerajaan negeri (GLC) yang tidak membayar zakat perniagaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi membolehkan pihaknya membuat penelitian bagi memastikan mereka menunaikan tuntutan hukum syarak.

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan terdapat beberapa GLC yang enggan membayar zakat perniagaan kepada Maidam.

“Jika benar mereka enggan bayar, saya akan arahkan syarikat terbabit untuk membuat bayaran kerana dalam perkara ini tidak boleh dibuat main,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, pihak pengurusan syarikat akan dipanggil untuk memberi keterangan setelah menerima senarai nama syarikat berkenaan daripada Maidam nanti.

Sebelum ini, Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda Dato’ Haji Mazlan Hashim melahirkan rasa kesal dengan syarikat milik kerajaan yang enggan membayar zakat perniagaan atas alasan mereka beroperasi di bawah pengurusan kerajaan yang dianggap sebagai satu bentuk sumbangan.

Menteri Besar berkata, walaupun telah menyumbang, syarikat berkenaan juga wajib menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat perniagaan serta jangan samakan zakat dengan sumbangan.