Halaman

08 May 2012

Latihan kemahiran untuk anak peserta e-Kasih

Oleh; Esah Abdullah

Kerjasama pelbagai jabatan seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Akademik Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABMWT) berjaya meningkatkan kemahiran anak-anak peserta e-Kasih.

Sehubungan itu Terengganu mendapat peruntukan RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) tahun ini untuk melaksanakan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya kepada golongan sasar.

Setiausaha KKLBW, Dato’ Ibrahim Muhammad berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk memberi latihan kemahiran secukupnya kepada anak peserta e-Kasih bagi membina kerjaya sendiri sekaligus mampu merubah kehidupan keluarga kea rah lebih baik.

“Tahun ini terdapat 188 orang peserta berpeluang mengikuti kursus jangka pendek dan sederhana di bawah PLKK dengan kos RM600,000,” katanya di majlis Graduasi PLKK di ABMWT Jenagur, Hulu Terengganu.

Menurutnya daripada jumlah itu, 150 peserta mengikuti lima jenis kursus dengan kerjasama ABMWT manakala selebihnya melalui syarikat pengendali latihan kemahiran swasta.

Katanya, jangkaan pendapatan dan prospek perlaksanaan PLKK menyasarkan 70 peratus peserta yang mendapat latihan kemahiran berupaya memperolehi jaminan pekerjaan sama ada makan gaji atau bekerja sendiri.

Dato’ Ibrahim memaklumkan KKLBW menyediakan peruntukkan lebih besar untuk PLKK tahun ini iaitu RM36 juta di seluruh negara berbanding tahun lalu dengan anggaran 4,235 peserta dapat menimba latihan kemahiran melalui program berkenaan.

“Tahun lalu kementerian memperuntukan RM14.36 juta dan telahpun berjaya melatih seramai 2,259 peserta dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan, perkilangan dan teknikal,” katanya.