Halaman

20 May 2012

Payang Walk bakal jadi kawasan tumpuan pelancong

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan menaiktaraf beberapa jalan utama sekitar Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu sebagai kawasan pelancongan yang dikenali `Payang Walk’ tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata Payang Walk akan bermula dari Pejabat Pos cawangan Terengganu, Jalan Kampung Cina hingga ke Waterfront yang dianggarkan sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Katanya, pada masa ini beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi sama-sama membantu melaksanakan projek berkenaan.

“Payang Walk berkonsepkan kawasan tumpuan pelancongan bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan dan persembahan kebudayaan selain melihat keindahan warisan negeri,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pakej Berbasikal Terengganu Cuti-Cuti 1 Malaysia 2012 di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Musa Yusof dan Pengarah Tourism Negeri, Mohd Nasir Khushairi.

Dato’ Abdul Rahin berkata, projek Payang Walk itu dijangka akan dilancarkan pada Julai ini serentak dengan pra pelancaran Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan acara berbasikal sebagai acara besar-besaran.

Katanya, melalui program itu nanti kira-kira 7,000 peserta daripada seluruh negeri akan berbasikal melalui persisiran pantai sejauh kira-kira 240 kilometer yang bermula di Besut melalui beberapa daerah kecuali Hulu Terengganu hingga ke Kemaman.

“Aktiviti berbasikal di negeri ini dilihat satu fenomena yang luar biasa dan ianya perlu disokong bagi menjadikan satu aktiviti riadah yang sihat serta bebas dari pencemaran asap,” katanya.

Mengenai pakej berbasikal yang dilancarkan pada hari ini beliau berkata, ia merupakan satu pakej baru yang diperkenalkan dengan kerjasaman Toursim Malaysia, hotel dan agensi pelancongan.

Di majlis itu beliau turut melepaskan konvoi Kayuhan Riadah Pelancongan Senior sejauh 23 kilometer dan Kayuhan Riadah Pelancongan Junior sejauh lima kilometer yang melibatkan lebih 1,000 peserta.