Halaman

28 May 2012

Payang Walk guna terminologi bahasa Melayu

Oleh: Aida Abd Rahman

Produk pelancongan baru yang bakal diperkenalkan kerajaan negeri, `Payang Walk’ yang mengambil nama `Pasar Kedai Payang’ dengan pangkalnya `Walk’ adalah menggunakan terminologi bahasa Melayu, iaitu`warisan alam dan kebudayaan’, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Lebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

“Saya sudah membentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai cadangan untuk menjadikan jajaran jalan daripada Pejabat Pos Terengganu melalui Kedai Payang masuk ke Pulau Warisan, seterusnya patah balik melalui Kampung Cina dengan menjenamakan program ini sebagai Payang Walk.

“Secara kebetulan nama Payang adalah nama `Pasar Kedai Payang’, manakala Walk bagi w adalah warisan, al adalah alam dan k merupakan kebudayaan. Trimologi yang digunakan Payang Walk ini adalah trimologi Melayu dan secara kebetulan `Walk’ itu perkataan bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap sempena pelancaran pesta pantai Terengganu 2012, di Datran Syahbandar, baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Dato’ Abdul Rahin berkata, program baru itu membuktikan betapa kaya warisan dan seni budaya terdapat di Terengganu yang mampu dijenamakan sebagai produk pelancongan bagi menarik tumpuan pelawat secara berterusan ke Terengganu.

Beliau turut berharap untuk melihat seni budaya dan keseniaan warisan peninggalan nenek moyang sentiasa menjadi aspirasi kepada generasi baru supaya mereka mengenal serta berbangga dengan identiti bangsa selain mampu menjadi khazanah negeri yang tersohor.

Dalam laporan sebelum ini, kerajaan negeri akan menaik taraf beberapa jalan utama sekitar Pasar Besar Kedai Payang sebagai kawasan pelancongan yang dikenali `Payang Walk’ melibatkan laluan Pejabat Pos cawangan Terengganu, Jalan Kampung Cina hingga ke Waterfront yang dianggarkan sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Dato' Abdul Rahin berkata, pada masa ini beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi sama-sama membantu melaksanakan projek berkenaan.

“Payang Walk berkonsepkan kawasan tumpuan pelancongan bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan dan persembahan kebudayaan selain melihat keindahan warisan negeri,’’ katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, projek Payang Walk itu dijangka akan dilancarkan pada Julai ini serentak dengan pra pelancaran Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dengan acara berbasikal sebagai acara besar-besaran.