Halaman

18 May 2012

PEMUDA & PUTERI UMNO BAHAGIAN KEMAMAN RAI HARI GURU.

Oleh: Nurul Aziela Saberi
Gambar oleh Nurul Aziela Saberi

 Sempena sambutan Hari Guru yang bertemakan “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” pada tahun ini, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman meraikannya dengan menghadiahkan sebiji kek daripada Pemuda dan sebuah jam daripada Puteri untuk 67 buah sekolah sekitar Kemaman.

Pemberian ikhlas tersebut telah menjadi satu tradisi kepada Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman sejak beberapa tahun yang lepas dan akan diteruskan setiap tahun bagi menghargai dan mengenang jasa guru-guru.


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Haji Zubir berkata, pemberian kek dan jam dinding kepada setiap sekolah adalah tanda penghargaan dan tanda ingatan kepada guru-guru yang selama ini banyak berbakti untuk negara.

 “Tanpa mengenal erti penat dan putus asa, mereka gigih mendidik anak bangsa negara untuk terus berjaya dalam hidup. Justeru itu, tidak salah mereka dirai dengan penuh meriah pada hari ini.

“Anak-anak muda terutama pelajar di era kini perlulah menghargai pengorbanan jasa guru dan haruslah menghormati mereka agar kehidupan cerah kelak”, katanya ketika ditemual selepas pemberian kek dan jam kepada Sekolah Kebangsaan Cina di Kuala Kemaman.