Halaman

05 May 2012

Pesara kakitangan kerajaan aset penting negara


Oleh: Mohammad Ishak

Golongan pesara terutama bekas kakitangan kerajaan tidak akan dipinggirkan sebaliknya mereka yang menjadi ahli persatuan akan dibela dan diberi perhatian kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, pesara dianggap penting kerana mereka juga mampu memberi sumbangan kepada kerajaan malah menjadi aset penting kepada negara.

Katanya,walapun sudah meninggalkan jawatan dalam kerajaan tetapi golongan pesara yang mempunyai banyak pengalaman boleh membantu usaha kerajaan dalam pelbagai bidang.

“Oleh itu semua bekas pesara diminta menyertai Persatuan Pesara Kakitangan Kerajaan bagi memudahkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan,” katanya ketika menemui rombongan Ahli Jawatankuasa Pesara Kerajaan di Wisma Darul Iman.

Rombongan diketuai yang Dipertua PPKT,Datuk Abu Bakar Abdullah itu juga menyampaikan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri bagi membantu nasib pesara.

Antara yang terkandung dalam memorandum itu termasuk meminta kerajaan menyediakan dana khas pentadbiran, penganugerahan pingat, menunaikan haji dan umrah dan lawatan.

Mazlan ketika mengalu-alukan rombongan itu berjanji akan mengemukakan cadangan persatuan kepada pengetahuan Menteri B esar,Datuk Seri Ahmad Said untuk dipertimbangkan.

Dalam perkembangan lain Mazlan berkata, beliau bersetuju dengan cadangan persatuan berkenaan untuk mengadakan sesi pertemuan dan majlis makan malam bersama pimpinan kerajaan negeri bagi mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan dan bekas pesara.