Halaman

26 May 2012

Program Gotong Royong PMINT Bersama Warga Taman Permint Perdana Fasa 1

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu telah mengadakan program Gotong Royong Bersama Warga Taman Permint Perdana 1, Kampung Batin, Seberang Takir sebagai salah satu usaha menunaikan tangungjawab sosial dan korporat PMINT kepada rakyat Terengganu khususnya warga Taman Permint Perdana, baru-baru ini.

Seramai 250 orang wargakerja PMINT bersama warga Taman Permint Perdana keluar bersama-sama membersihkan kawasan sekitar taman. Majlis itu dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri,

"Program gotong royong ini diharapkan agar dijadikan program yang berterusan sama ada oleh PMINT dan juga komuniti setempat kerana melaluinya dapat memupuk semangat 1 komuniti yang padu serta kesedaran menjaga kebersihan taman demi kepentingan bersama", katanya.


Beliau yang turut diiringi Pengurus Besar PMINT, Dato' Haji Osman Muda, ke lokasi gotong royong untuk menyempurnakan gimik perasmian program iaitu menanam papan tanda nama jalan taman.

Turut hadir sama menjayakan program ialah YB. Haji Ahmad Razif Abd. Rahman, ADUN Seberang Takir; Encik Zakaria Talib, Pengerusi JKK Ulu Takir serta Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.



Program yang bermula jam 7.45 pagi dan berakhir jam 1.00 petang dimeriahkan lagi dengan penyediaan jamuan tengahari.