Halaman

25 May 2012

Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman tampung 30 pesakit

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Peruntukan dari Pejabat Daerah Kemaman hampir RM1 juta dibelanjakan untuk membaik pulih bangunan Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman sementara kos sebanyak RM500,000 lagi digunakan untuk membeli 10 unit mesin hemodialisis serta keperluan lain.

Kesungguhan Yayasan Buah Pinggang Kemaman (YBPK) untuk memberi harapan baru kepada pesakit buah pinggang menjadi kenyataan setelah usaha digerakkan sejak lima tahun lalu.

NKF atau Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia pula menjadi perunding untuk merawat dan menjalankan proses hemodialisis kepada pesakit yang mana sehingga kini seramai empat pesakit telah pun menerima rawatan di Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman.

Ahli Lembaga Pengarah YBPK, Abdul Ghani Azahan berkata, wang sumbangan pelbagai pihak dan masyarakat yang dikutip pada program ‘Amal Hemodialisis’ pada 2007 sebanyak RM600,000 menjadi asas penubuhan pusat itu yang terletak di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman.

“Pusat dialisis ini berjaya ditubuhkan atas sokongan kuat Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan penderma. Pada mulanya kita mahu bina pusat ini di dalam Hospital Kemaman (HK) dan kita berunding dengan Pejabat Daerah Kemaman untuk dapatkan kawasan tetapi selepas itu ia tidak jadi dibina di kawasan hospital.

“Namun, akhirnya kita diberi kebenaran untuk menggunakan bangunan kerajaan di Pantai Teluk Mak Nik yang boleh memuatkan sehingga 15 unit mesin hemodialisis. Tetapi buat waktu ini kita mempunyai 10 unit mesin yang boleh menampung 30 pesakit," katanya pada majlis perasmian pusat itu yang disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said semalam.

Bagaimanapun kata Abdul Ghani, setakat ini Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman baru dibenarkan beroperasi dengan enam mesin hemodialisis selain turut menyediakan tempat rawatan khusus kepada pesakit buah pinggang yang menghidap Hepatitis B dan C.

Sehubungan itu, pesakit buah pinggang seluruh daerah ini dialu-alukan untuk mendapatkan rawatan mencuci buah pinggang di Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman kerana setakat ini perkhidmatan diberikan secara percuma.

Sementara itu, sempena majlis perasmian Pusat Dialisis NKF-YBPK Kemaman, pelbagai pameran dan program menarik akan diadakan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman seperti pameran di gerai Hospital Kemaman, Pergigian Kemaman dan Pemeriksaan Kesihatan.