Halaman

11 May 2012

SEMARAK MERAH LARIAN BENDERA UMNO

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Sebanyak 66 bekas pulut kuning dengan bunga telur menjadi simbolik pembakar semangat daripada Badan Perhubungan UMNO Terengganu kepada Badan Perhubungan UMNO Pahang telah diarak Ketua-Ketua Wanita Cawangan UMNO Bahagian Kemaman, kelmarin.



Pasukan Larian Bendera UMNO Bahagian Kemaman mula berlari di sempadan Dungun – Kemaman sekitar jam 11 pagi yang turut disertai dengan 100 penunggang motosikal dan 200 basikal fixie.


Selepas menerima bendera daripada UMNO Bahagian Dungun, mereka kemudian meneruskan larian sejauh 40 kilometer sehingga sampai ke Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di Chukai.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengetuai larian peringkat Daerah Kemaman berkata, dengan semangat berkobar-kobar setiap ahli UMNO seluruh pelusuk negeri, tidak mustahil daerah yang menjadi milik pembangkang termasuk Indera Mahkota dapat dirampas kembali.

“Sehubungan itu, seluruh ahli UMNO perlu berjuang habis-habisan untuk mengalahkan PKR, PAS dan DAP yang menjadi petualang kepada bangsa, agama dan negara kita selama ini.

“Amat dikesali ada pihak pembangkang yang sanggup memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka, malah saya tidak segan silu menyifatkan mereka sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera UMNO kepada wakil Menteri Besar Pahang merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat di sempadan Terengganu – Pahang, Pantai Cendor.

Larian turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera, ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman, Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Asfalinda Anuar.