Halaman

27 May 2012

Sengaja cari isu remeh kerana kehabisan modal

Oleh: Suriati Ali



Pihak pembangkang yang kini kehabisan modal sengaja mencari isu remeh dan tidak munasabah semata-mata mahu memburukkan kebenaran serta kebajikan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata semakin hebat orang BN mentabdir Terengganu makin kuat hasad dengki puak Pas.

“Apabila tengok orang BN maju, mereka akan mencipta pelbagai helah dan fitnah supaya timbul kebencian di kalangan rakyat.

Katanya, inilah sifat sebenar puak Pas sejak daripada azali lagi yang sememangnya gemar melihat pepecahan.

“Sepanjang pemerintahan Pas di kawasan yang ditakluki mereka, apa kebajikan atau pembangunan yang dilaksanakan untuk rakyat.



“Jelas mereka tidak berbuat apa-apa melainkan hanya BN sehingga kini setia berbakti kepada rakyat walaupun di kawasan kubu Pas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir di Teluk Ketapang, Seberang Takir, petang kelmarin.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To' Puan Hajah Norliza Mahmud; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir yang bernilai RM700,000 dibina hasil sumbangan penyokong parti dan orang ramai itu kini sudah 98 peratus siap.

Pelbagai program dan aktiviti bakal dilaksanakan di bangunan itu untuk kebaikan parti BN.



Pada majlis sama, seramai 178 penduduk di DUN itu menerima geran tanah bagi lot kediaman dan pertanian.



Katanya, keyakinan rakyat terhadap BN terus meningkat selepas melihat kesanggupan kepimpinan parti sanggup turun padang, menabur bakti dan mengutamakan kebajikan terhadap rakyat.

“Tiada alasan bagi puak pembangkang untuk menghentam BN, jika ada di kalangan mereka tetap menabur fitnah, ia sememangnya tabiat dan hobi yang sukar dikikis.

“ Beri atau laksana apa jua kebajikan pun, mereka tetap mencari idea dan helah untuk memburukkannya walaupun mereka sedar ia adalah untuk kebaikan bersama,” katanya.