Halaman

05 May 2012

Taman Burung jadi tarikan baru di Tasik Kenyir

 Taman Burung menjadi daya tarikan baru di Tasik Kenyir yang kini dibuka kepada orang ramai.
- Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh: Suriati Ali

Jika anda ingin melihat puluhan spesies burung terutama yang jarang ditemui secara dekat, boleh singgah atau bercuti di tasik buatan manusia, iaitu di Tasik Kenyir Hulu Terengganu.

Di lokasi pelancongan yang sememangnya terkenal di serata negara itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mewujudkan Taman Burung di salah satu pulau yang terdapat di Tasik Kenyir iaitu Pulau Terengganu Mati.

 Taman burung yang dibina di kawasan seluas 1.7 hektar di Pulau Terengganu Mati itu bakal menjadi tarikan baru kepada jutaan pelancong di mana sebelum ini hanya berkunjung di Pulau Petang, Pulau Bayas, Pulau Sumas, Pulau Jelatang dan Pulau Batu Pipit.

Keseluruhan taman burung dilitupi dengan hutan hujan tropika yang tidak ternilai serta kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna yang sukar ditemui di tempat lain.

Mereka yang berminat untuk mengunjunginya boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan menaiki rumah bot untuk ke taman burung berkenaan menerusi ejen yang disediakan iaitu Bahtera Petang Houseboat.

Bahtera Petang Houseboat mampu memuatkan maksimum 12 orang dalam satu-satu masa dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada tempoh yang dikehendaki oleh pengunjung.

Sehingga kini, taman burung berkenaan mempunyai 153 ekor burung pelbagai spesies termasuk 62 ekor burung Kuang, 11 spesies itik dan angsa berjumlah 101 ekor.

Bagi menarik minat pelancong, taman itu turut dilengkapi pelbagai prasarana seperti jeti, pintu gerbang, jambatan gantung, menara tinjau, kolam ikan dan mini kafe.



Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata elemen - elemen di taman burung di pulau itu di reka bentuk dengan mengambil kira elemen asal Pulau Terengganu Mati.

“Ia berada di kawasan alam semulajadi yang kaya dengan pelbagai flora dan fauna, kemudian di adaptasi menjadi sebuah taman yang ‘versatile’,” katanya.

Katanya, tarikan alam semulajadi akan digunakan seperti membuat sarang tiruan dan ‘feeding station’ bagi menarik burung liar.

“Pembinaan taman burung itu akan membantu menjana ekonomi Terengganu malah penduduk setempat,” katanya .