Halaman

14 May 2012

Tiada paksaan tinggal di Felda jika rasa tertipu

Oleh FAUZI MOHD

Para peneroka yang merasakan diri mereka menjadi mangsa penipuan oleh pihak kerajaan dan Felda dinasihatkan segera meninggalkan tanah rancangan tersebut.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, tiada gunanya golongan itu tinggal di tanah rancangan Felda jika merasakan kehidupan mereka tidak pernah berubah dan terus dihimpit kesusahan sehingga hari ini.

"Tidak ada paksaan untuk golongan peneroka tinggal di tanah rancangan ini jika merasakan diri mereka ditipu dan tertindas. Mereka boleh membuat pilihan untuk keluar dari Felda.

"Tindakan itu lebih baik daripada sanggup menjadi duri dalam daging masyarakat peneroka dan bersubahat dengan pihak tertentu untuk mengkhianati perjuangan golongan itu serta kerajaan dalam memajukan tanah rancangan Felda," katanya.



Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Durian Runtuh kepada para peneroka Felda di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu hari ini.


Turut hadir, Ketua UMNO Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Dato’ Rosol Wahid dan Pengurus Felda Wilayah Terengganu, Abd Malib Abd Rani.

Menerima penyerahan yang disampaikan Dato’ Seri Ahmad itu, para peneroka Felda Jerangau Barat berjumlah RM1.83 juta, Felda Mengkawang (RM1.64 juta), Felda Tersat (RM925,000) dan Felda Bukit Bading (RM2.92 juta).



Pada majlis itu, seramai 101 peneroka Felda Jerangau Barat menerima suratan hak milik tanah iaitu kira-kira empat hektar tanah ladang dan sehektar tanah tapak rumah.



Dato’ Seri Ahmad menambah, pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka membuktikan kerajaan menghargai pengorbanan warga itu yang setia bersama kerajaan dan Felda.

Beliau juga mencabar peneroka yang berasa sangsi atau curiga mengenai usaha kerajaan menyenaraikan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia supaya tidak menerima tawaran membeli saham tersebut.



“Jangan sewenang-wenangnya tuduh kerajaan ini pengkhianat. Tidak munasabah Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua) yang bergolak bergadai untuk bangunkan Felda, ada pihak tuduk anak beliau (Dato’ Seri Mohd Najib) mahu rosakkan Felda.

“Orang yang berkata demikian barangkali mempunyai masalah pemikiran yang perlu dirawat. Kita bimbang, masalah itu menjadi tenat dan merbahaya kepada orang sekeliling mereka,” katanya sinis.


No comments: