Halaman

16 May 2012

Pelumba TSG beraksi cemerlang dinaikkan gaji

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejayaan pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) menempatkan diri selaku pasukan terbaik negara dan juga Asia dalam Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1Malaysia (J1M) yang berakhir Ahad lalu, mengundang reaksi gembira pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Ekoran kejayaan itu juga, Menteri Besar turut meminta Majlis Sukan Negeri Terengganu menilai semula dan menaikkan gaji pelumba yang merekod prestasi serta kejayaan cemerlang itu.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai kejayaan anak-anak jati Terengganu, baik dalam bidang pelajaran mahupun sukan.

"Saya berasa bangga dengan TSG. Hari ini peserta TSG berjaya mendapat tiga tempat terbaik, pertama kedua dan ketiga. Saya menerima SMS sebentar tadi.

“Kelmarin (semalam), kelmarin dulu..dua hari berturut-turut. Mohd Hariff Salleh dapat nombor satu di dua peringkat. Hari ini, sekali lagi TSG mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga..Tetapi tidak dimaklumkan kepada saya pelumba yang berjaya itu,” katanya di sidang media sempena Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Felda, di Felda Belara, baru-baru ini.

Pelumba yang mewakili TSG dalam J1M 2012 ialah Mohd Hariff Salleh, Mohd Zamri Salleh, Shinichi Fukushima, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohd Nor Umardi Rosli.

Dalam perlumbaan penutup tirai J1M yang berakhir di Dataran Merdeka Ahad lalu, TSG mencuri tumpuan apabila menyapu bersih kedudukan podium pada peringkat akhir perlumbaan Jelajah 1Malaysia 2012 (J1M 2012) yang berakhir di Dataran Merdeka, semalam.

Pada saingan peringkat keenam sejauh 199.5km dari Ipoh ke Dataran Merdeka, pelumba Jepun Shinichi Fukushima mengatasi 54 pelumba lain untuk mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 4 jam 24 minit 31 saat.

Diekori rapat ialah rakan sepasukan Mohd. Harrif Salleh dan abangnya, Mohd. Zamri Salleh yang melakukan catatan sama 4"24:34s.

"Adalah amat membanggakan untuk memenangi kedudukan 1-2-3 untuk pasukan. Strategi pasukan menjadi dengan begitu cemerlang sekali pada peringkat akhir.

"Selepas Jelajah 1Malaysia, saya akan menyertai pasukan TSG bagi menghadapi Jelajah Jepun dan juga melakukan persediaan untuk kejohanan ujian masa di Jepun," kata juara berusia 41 tahun itu pada sidang media.

Kemenangan Shinichi itu adalah kedua pada jelajah selepas menjuarai peringkat pertama dari Stadium Merdeka ke Bandar Baru Kampar.

Selain itu, pelumba berasal dari Terengganu, Muhamad Adiq Hussainie Othman dari Pasukan Pembangunan Malaysia dinobatkan sebagai Raja Pecut (Jersi Hijau) serta muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia dengan menyarung Jersi Putih.

a onblur="try {parent.deselectBloggerImageGracefully();} catch(e) {}" href="http://teganukita.blogspot.com/">