Halaman

03 May 2012

UMT sasar 500 pelajar asing pada 2015

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mensasarkan pertambahan pelajar asing ke institusi pengajian itu sebanyak lima peratus atau 500 pelajar menjelang 2015 sebagai usaha memantapkan jaringan antarabangsa.

Pertambahan pelajar tempatan dalam tempoh sama dijangka turut meningkat kepada 10,000 pelajar berbanding jumlah sekarang iaitu 7,800 pelajar.

UMT yakin mampu mencapai sasaran itu selepas beberapa strategi, termasuk mempelawa beberapa ahli akademik dari negara maju seperti Jepun dan Korea bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.


Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Ibrahim Komoo , berkata sasaran itu selaras dengan apa yang diamanatkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu supaya lebih ramai pelajar asing menyambung pengajian di Institut Pengajian Awam (IPT) di negara ini.

Katanya, sehingga kini, UMT memiliki lebih 100 pelajar daripada 18 negara yang mengikuti pelbagai peringkat pengajian dan pengkhususan termasuk China, Kanada, United Kingdom, India dan Indonesia.

“UMT sudah bekerjasama dengan lebih 20 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran di institusi pengajian kami.

“Ini termasuk Universiti Bergen, Norway, Universiti carolina and East Carolina (USA), Universiti James Cook (Australia), Institut Alfred Wagener (Jerman) dan Universiti Selatan Brittany, Perancis,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Malam Gala Antarabangsa (MGA) di Ri-Yaz Heritage Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan MGA.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isterinya, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa barisan exco lain.

Prof Datuk Dr. Ibrahim menyatakan rasa bangga kerana MGA mampu menghimpunkan pelajar dan bekas pelajar UMT daripada pelbagai negara, bangsa, agama dan budaya, di mana mereka boleh bergaul serta bertukar-tukar pandangan.

“Pada masa sama, mereka boleh melihat serta mempelajari tarian tradisional dari negara Indonesia China, Arab, India dan Sudan yang dipersembahkan pelajar berkaitan.
“Tidak ketinggalan tarian tradisional Terengganu dan dikir barat untuk dipersembahkan,” katanya.