Halaman

14 June 2012

50 peratus ahli Belia 4B Terengganu tidak sertai parti politik

Oleh FAUZI MOHD

Kira-kira 50 peratus daripada 10,000 anggota Gerakan Belia 4B di seluruh Terengganu setakat ini tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik.

Timbalan Pengerusinya, Mohd Iskandar Jaafar berkata pihaknya kini giat mengadakan pelbagai program turun padang untuk memberi penerangan kepada belia mengenai pengaruh mereka terhadap politik Malaysia.

"Walaupun tidak menyertai mana-mana parti politik, ini tidak bermaksud belia tidak mengikuti perkembangan politik semasa, cuma pendekatan lain perlulah diambil supaya mereka turut terlibat sama dalam arus politik perdana.

"Gerakan Belia 4B Terengganu juga turut menggunakan media baru siber termasuk facebook, twitter dan blog untuk memberi penerangan kepada mereka betapa pentingnya menyokong kerajaan yang memerintah pada hari ini," katanya semalam.

Sehingga kini terdapat lebih 90,000 belia dan 30 persatuan belia di seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu, 10,000 menjadi anggota Gerakan Belia 4B Terengganu.