Halaman

19 June 2012

Anak Terengganu, rakyat Malaysia pertama felo Universiti Cambridge

Anak muda kelahiran Terengganu, Azree Shahrel Ahmad Nazri menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felo penyelidik bidang matematik gunaan di Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pelantikan tutor Universiti Putra Malaysia (UPM) di Trinity College itu adalah hasil pencapaian beliau yang menakjubkan sepanjang sesi pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik di universiti terkemuka dunia berkenaan sejak 2008.

Penyelidik berusia 32 tahun itu adalah tutor Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM.

Pensyarah kanan Universiti Cambridge, Dr Pietro Lio’ dalam surat sokongannya kepada UPM menyifatkan Azree sebagai pelajar berbakat.

Beliau menyifatkan kebolehan Azree yang menjalani latihan berkembar di makmal biologi dan molekular serta sistem biologi statistik sebagai jarang berlaku di Universiti Cambridge.

“Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit,” katanya.

Beliau juga berkata, jawatan itu hanya ditawarkan kepada penyelidik yang berkebolehan serta bijak dan sebagai penyelidik, Azree boleh menumpukan penyelidikan dalam bidang matematik gunaan tanpa beban mengajar, seterusnya memulakan kariernya ke peringkat lebih tinggi.

Azree ketika dihubungi di London bersyukur dengan pelantikan selama tiga tahun yang akan bermula Ogos depan.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada ibu, Junaidah Embong dan ayah, Nazri Ahmad serta isteri Azwanis Abdosamad kerana sanggup berkorban. Saya akan membuat penyelidikan sepenuh masa di sini,” katanya menerusi SMS.

Menyifatkannya sebagai tugasan berat, Azree berkata tawaran itu adalah titik permulaan baginya untuk menyokong hasrat negara mencapai Wawasan 2020.

“Cabaran ini amat berat kerana saya terpaksa bersaing dengan penyelidik antarabangsa lain. Saya juga yakin di luar sana ramai lagi penyelidik yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa, cuma mereka mungkin tiada peluang seperti saya,” katanya yang baru menamatkan PhD dalam bidang matematik.