Halaman

28 June 2012

Atlet Sukma mula bertolak hari ini

Oleh: Suriati Ali

Kontinjen Terengganu disertai 536 orang termasuk 400 atlet akan bertolak secara berperingkat-peringkat ke Pahang, bermula hari ini, bagi menyertai Sukan Malaysia Ke-15 (Sukma).



Atlet karatedo, taekwondo dan bola sepak dijangka bertolak awal bersama pegawai, pengurus dan jurulatih masing-masing kerana jadual perlawanan bagi kejohanan itu bermula 1 dan 2 Julai ini..



Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri percaya semua atlet Terengganu yang menjalani latihan hampir dua tahun itu mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk mencapai sasaran 47 pingat emas.

“Sasaran sebelum ini ialah 56 pingat emas daripada 377 pingat yang dipertandingkan, kita terpaksa menerima hakikat kehilangan sembilan pingat emas kerana atlet Sukma yang layak telah pergi ke Sukan Olimpik.

“Peraturan baru juga tidak membenarkan mereka bertanding dalam Sukma walaupun dari segi umur mereka masih layak bertanding,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi..

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Haji Zainal Abidin Husein dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu merangkap Ketua Kontijen Sukma Haji Wan Nawawi Wan Ismail.
Pada majlis sama empat pemain hoki Terengganu yang berjaya menjuari Kejohanan Hoki Remaja Asia meneriman Insentif RM20,000.

YB Rozi turut memberitahu, tiga atlet yang tidak dapat menyertai Sukma nanti ialah Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim dalam acara sukan memanah dan Adiq Hussainie Othman acara berbasikal yang menyumbangkan masing-masing tiga pingat emas dalam Sukma di Melaka.

“Terengganu menyertai 24 jenis sukan dan 19 sukan wajib ialah renang, angkat berat, berbasikal, bola sepak, badminton, gimnastik, hoki, lawn bowls, taekwondo, karate, perahu layar, dan sepak takraw,” katanya.