Halaman

03 June 2012

BN sentiasa tunai janji

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk diingatkan bahawa pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menunaikan janji yang dibuat kepada pengundi di kawasan tersebut.



Sehubungan itu, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata mereka tidak perlu mengendahkan hasutan pemimpin pembangkang bahawa BN hanya berjanji untuk melakukan pembangunan di kawasan tersebut, tetapi tidak akan menunaikannya jika mereka menang kawasan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

“Bukti sudah jelas menunjukkan beberapa janji yang dibuat oleh BN di kawasan ini seperti menyediakan rumah kepada mangsa ombak besar, telah pun kita tunai,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Pesta Wau Chendering 2012 di Chendering, petang semalam.



Hadir sana pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan pemimpin setempat.

Dato’ Che Mat berkata, terbaru Menteri Besar sendiri telah berjanji akan membina 1,000 unit rumah kos rendah di DUN Batu Buruk jika BN menang di kawasan tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

“Marilah kita sama-sama menyahut cabaran itu dengan mengundi calon BN pada pilihan raya kali ini.

“Saya yakin, jika BN menang di Batu Buruk dan diberi mandat memerintah negeri

Terengganu, Kerajaan BN tidak akan melengah-lengahkan lagi pembinaan rumah kos rendah di kawasan ini seperti dijanji,” katanya.

Beliau berkata, memang pemimpin Pas sering menghasut pengundi di kawasan itu supaya menentang Kerajaan BN kerana kononnya mereka hanya pandai berjanji.

“Tetapi tuan-tuan dan puan-puan sendiri boleh menilai adakah pemimpin BN berbohong kerana semua janji yang kita buat sudah ditunai.

“Malah, banyak lagi bantuan lain yang diterima penduduk di kawasan Batu Buruk walaupun ramai pengundi di kawasan ini masih menyokong calon pembangkang,” katanya.

Beliau berharap mereka tidak lagi menyokong pembangkang khususnya Pas dan beralih pula kepada BN pada pilihan raya kali ini bagi memastikan kawasan itu dibangunkan dengan lebih baik lagi.