Halaman

18 June 2012

Bomba sukarela bantu JBPT

Oleh; Esah Abdullah

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPT), Encik Mohd Salleh Sarbini memuji tindakan pro aktif yang diambil rakan-rakan radio amatur di negeri ini kerana berjaya menubuhkan pasukan bomba sukarela.

“Pasukan ini bertindak sebagai pasukan bantuan awal bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat menangani kes-kes kebakaran yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, pasukan sukarela yang berpusat di Seri Nerus ini boleh dijadikan contoh kepada kawasan lain mengenai pentingnya aspek penjagaan keselamatan kebakaran yang perlu ditanam dalam diri masing-masing.

Beliau berkata demikian di majlis Program Bomba Bersama Komuniti 1 Malaysia Taman Perumahan Wakaf Tembesu dan Gong Badak di tapak letak kereta Pasaraya Hock Kee Seng Gong Badak semalam. Perasmian majlis dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Sehubungan itu Encik Mohd Salleh memaklumkan taksiran kerugian sepanjang tahun lalu kira-kira RM25.7 juta dan nilai harta yang berjaya diselamatkan RM136 juta.

Dalam pada itu pihaknya mendapat 2,404 panggilan kecemasan dengan 815 merupakan kes kebakaran, 1548 kes menyelamat dan 41 kes panggilan khas.

"Panggilan kebakaran rumah dalam daerah Kuala Terengganu mencatat bilangan tertingi iaitu 30 daripada 78 kes yang melibatkan dua orang kanak-kanak terkorban,” katanya.

Beliau yakin tahap kesedaran orang ramai terhadap bahaya kebakaran disusuli langkah pencegahan, mampu menguragkan jumlah kebakaran kerana kebanyakan kes yang berlaku berpunca dari kelalaian serta sikap tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan.