Halaman

29 June 2012

IPGM anjur bicara tokoh

Oleh; Esah Abdullah

Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato’ Razali Ismail akan menganjurkan Program Bicara Tokoh Allahyarham Dato’ Razali Ismail 1948 – 2008 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, 3 Julai ini.

Allahyarham yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran ketika hayatnya juga merupakan bekas Pengarah IPGM tersebut diibaratkan seorang sebagai arkitek pendidikan yang amat dibanggai oleh rakyat Terengganu.

Menurut setiausaha program, Encik Zahar Ibrahim, ketokohan dan kecemerlangan beliau mempimpin bidang pendidikan memberi cetusan kepada IPGM untuk menganjurkan program berkenaan sebagai penghargaan kepada sumbangan beliau dan seterusnya menjadi contoh kepada orang lain.

Katanya, tiga panel yang merupakan orang yang paling dekat dengan allahyarham ketika hayatnya dijemput iaitu anak sulungnya, Mohd Norazli Razali, mantan Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Pelajaran (ketika allahyarham), Wan Hashim Mohd dan S.M. Nor yang merupakan sahabat allahyarham sejak kecil.

``Ketiga-tiga panel tersebut akan membicarakan pelbagai aspek mengenai ketokohan sebagai seorang bapa, penjawat awam dan politik serta seorang rakan yang amat baik,’’ ujarnya.

Manakala Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang bertindak selaku moderator yang juga merupakan bekas pelajar allahyarham dan mentor.

Katanya, program yang mendapat kerjasama kerajaan negeri itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Kira-kira 2,000 orang akan menyertai program tersebut yang terrdiri daripada guru-guru, pensyarah, guru-guru pelatih serta mantan pengarah IPGM di wilayah Timur dan keluarga allahyarham turut diundang.