Halaman

04 June 2012

JPN buka tiga sekolah baru

Oleh; Esah Abdullah

Tiga sekolah baru membabitkan dua sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah di daerah Kemaman dijangka akan dibuka Julai depan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Encik Zakaria Hussin berkata, sekolah baru itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang, SMK Banggol dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jong.

Katanya, setiap sekolah baru itu dapat menampung kira-kira 1,000 pelajar dan ini memberi peluang kepada penduduk sekitar dapat mengikuti pengajian di sekolah baru.

``Pada percangan awal sekolah berkenaan sepatutnya dibuka lebih awal, tetapi menghadapi sedikit masalah kerana kelewatan perabut dan kita putuskan ia boleh beroperasi bulan depan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Jasamu Dikenang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pelajaran di Taman Tamaddun Islam. Hadir sama Timbalan Pengarah JPN Encik Hashim Mohd Zin dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Encik Abdul Kahar Abdul Latif.

Katanya, beberapa sekolah baru juga sedang dicadangkan untuk dibina dibeberapa daerah bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah dan pegawai pelajaran di daerah diminta mengenalpasti lokasi yang sesuai di kawasan masing-masing.

Tambahnya, dengan pertambahan sekolah baru dapat mengurangkan kepadatan di sesetengah sekolah kerana masalah tiada sekolah yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka.

Pada majlis itu seramai 93 orang menerima APC, terdiri daripada 34 pegawai JPN, 23 pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, 10 pengetua dan 26 guru besar yang masing-masing menerima wang tunai RM1,000 beserta sjiil.

Seramai 243 orang terdiri daripda pelbagai jawatan menerima anugerah Jasamu Dikenang dan semua pemenang menerima sijil dan cenderamata yang disampaikan Pengarah Pelajaran negeri.