Halaman

12 June 2012

Kurang peka kesihatan punca kes denggi meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman

Faktor penduduk yang kurang peka terhadap kebersihan dan penjagaan kesihatan mendorong peningkatan kes demam denggi sebanyak 10 peratus kepada 360 kes dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 329 kes bagi tempoh sama tahun lalu di seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 330 kes melibatkan demam denggi dan bakinya kes demam denggi berdarah manakala pada 2011, sebanyak 252 kes ialah demam denggi dan 77 kes demam denggi berdarah.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman berkata pada masa ini hanya 51.9 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan dalam tempoh tiga hari selepas mengalami demam sedangkan kematian boleh dielak jika pesakit menerima rawatan yang sempurna seawal mungkin.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengatur program gotong-royong secara besar-besaran di seluruh negeri sebanyak empat kali setahun bagi menangani masalah itu.

Dr Anwa berkata sempena Hari Denggi Asean, Jabatan Kesihatan telah memilih tema 'Ke Arah Komuniti Bebas Denggi' dengan mengadakan pelbagai program kesedaran di semua daerah bermula semalam hingga 16 Jun ini.

"Tumpuan utama ialah mengadakan ceramah, mengedarkan risalah dan mengadakan pertandingan kuiz berkaitan denggi di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.

"Aktiviti kebersihan juga dipergiatkan dengan tumpuan terhadap pembersihan longkang dan tempat-tempat yang boleh menjadi pembiakan nyamuk Aedes," katanya