Halaman

24 June 2012

Larian Jambatan Sultan Mahmud tawar hadiah lumayan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan menghidupkan kembali Larian Jambatan Sultan Mahmud Peringkat Antarabangsa selepas 14 tahun menyepi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata pihaknya bersetuju untuk menganjurkan kembali acara yang pernah menjadi program tahunan itu pada 29 September ini.

Katanya, lebih 10,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Afrika Selatan dan Indonesia dijangka menyertai larian sejauh 21 kilometer itu.

“Pihak kami yakin mampu sasaran kerana aktiviti itu sering kali menjadi sebutan orang ramai terutama di kalangan peminat larian.

“Hadiah keseluruhan yang ditawarkan cukup lumayan iaitu kira-kira RM250,000 di mana tempat pertama bakal membawa pulang RM30,000,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Larian Perdana Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), di dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 3,000 peserta di kalangan masyarakat Terengganu menyertai Larian Perdana PMINT sejauh lima kilometer (km) dan 10 km itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM45,000.

YB Rozi turut memberitahu, larian terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kanak-kanak, pelajar sekolah, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU) dan terbuka antarabangsa.
“Trek larian dimestikan melalui Jambatan Sultan Mahmud dan beberapa batang jalan lain akan ditentukan kemudian oleh pihak penganjur.

“Pihak kami serius menganjurkan larian ini kerana ia bukan saja mampu mencungkil bakat-bakat baru, malah mampu memperkenalkan keindahan dan keistimewaan Terengganu kepada pelancong asing,” katanya.