Halaman

24 June 2012

Lebih 3,000 peserta sertai larian

Oleh: Suriati Ali

Penyertaan lebih 3,000 masyarakat Terengganu yang menyertai Larian Perdana Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) merupakan satu rekod membanggakan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat, berkata penglibatan pelbagai golongan dan bangsa yang sudi meluang masa cuti dengan aktiviti seumpama itu sewajarnya dipuji.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada pihak penganjur iaitu PMINT kerana mampu menarik minat lebih 3,000 invidu untuk menyertainya walaupun pertama kali dianjurkan.

“Kejayaan yang amat bermakna bagi rakyat dan kerajaan negeri ini secara tidak langsung dapat memupuk minat orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan berinteraksi,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Larian Perdana PMI NT, di dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda; Pengerusi Program yang juga Timbalan Pengurusan Perancangan & Pembangunan PMINT dan Urusetia program memerangkap Pengurus Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman.

Larian yang berkonsepkan `lari suka-suka’ dengan jarak tidak melebihi 10 kilometer (km) itu melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Antaranya melalui Jalan Tok Lam, Jalan Engku Fatimah, Jalan Sultan Ismail, Bulatan Batu Bersurat, Jalan Sultan Mahmud, Jalan Pantai Batu Burok danJalan Sultan Zainal Abidin.

Kemucak larian atau garisan penamatnya berakhir di dataran Taman Shah Bandar iaitu lokasi sama ketika memulakan acara.