Halaman

17 June 2012

MBKT sedia 2,500 petak bazar Ramadan

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan lebih 2,500 tapak niaga di Bazar Ramadan bagi membolehkan peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa.

Permit mula ditawarkan kepada orang ramai sejak Khamis lalu bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di 20 lokasi tumpuan yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Ghani Idris berkata, bayaran bagi setiap petak niaga antara RM70 hingga RM140 bergantung kepada lokasi dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan syarat am permohonan permit itu, tambahan bayaran RM30 perlu dibuat bagi peniaga air tebu, air kelapa, ayam bakar, ayam pusing dan ikan bakar yang menggunakan arang.

"Setiap tapak bazar diselia oleh penganjur dan persatuan-persatuan bagi memastikan sebarang proses dan urusan perniagaan berjalan lancar di bawah satu bumbung," katanya dalam satu kenyataan Khamis lalu.

Tambah Ghani, borang permohonan mula diedarkan secara percuma bagi lokasi-lokasi perniagaan yang ditetapkan itu.

“Ini termasuklah pasar Chabang Tiga, pasar Manir, pasar Kedai Payang, tapak pasar Wakaf Tengah, pasar malam Gong Badak, Batu Buruk dan Taman Shah Bandar di mana borang-borang disalurkan melalui persatuan-persatuan peniaga kecil dan penjaja.

“Sementara itu, pasar Bukit Besar dan pasar Teluk Ketapang mereka boleh mendapatkan borang di pejabat MBKT di situ,” ujarnya.

Katanya, pasar Kedai Buluh, Taman Permint Jaya, Pengadang Baru, Jalan Budiman, Dataran Taman Purnama, Kampung Baru Seberang Takir dan tempat letak kereta Batas Baru melalui JKKK kawasan itu.

“Pemohon di tempat letak kereta Masjid Tengku Intan Zaharah boleh dibuat melalui jawatankuasa masjid berkenaan.

“Pihak persatuan atau penganjur bazaar Ramadan hendaklah menyerahkan semua borang bersama bayaran selewat-lewatnya 28 Jun ini,” ujarnya.