Halaman

06 June 2012

NGO kebudayaan diberi nafas baru, tampil lebih kreatif

Oleh FAUZI MOHD

Kewujudan lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) yang berpayung di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu diberi nafas baru dengan penglibatan lebih meluas dalam kalendar kebudayaan negeri dan daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, pendekatan itu bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada NGO terbabit melibatkan diri dalam program kebudayaan di Terengganu.

Menurutnya, kumpulan NGO itu wajar ditonjolkan sepenuhnya kerana mereka lebih faham dan mempunyai daya kreatif yang tinggi.

“Selain mengurangkan kebergantungan kepada pihak kerajaan, progam seni dan budaya mampu disemarakkan dengan idea dan pendekatan baru daripada kumpulan NGO terbabit, iaitu idea dari akar umbi.

“Kumpulan itu bukan sekadar tampil di pentas dengan persembahan dan pertunjukkan, malah mereka turut diberi peranan lebih luas dalam menjayakan sesuatu program di peringkat negeri mahupun daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Pekan Budaya Daerah Kuala Terengganu di Dataran Shah Bandar, malam tadi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Tambah Dato’ Abdul Rahin, gabungan NGO berkenaan akan mengambil alih beberapa peranan kerajaan negeri sebelum ini dalam pelbagai penganjuran aktiviti kebudayaan seperti festival pekan budaya di daerah-daerah.

“Setiap daerah ada tema budaya masing-masing. Perubahan ini mampu menjadikan acara kebudayaan di Terengganu satu produk pelancongan santai dan unik,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu.