Halaman

20 June 2012

Pangsapuri kos rendah KP Perdana laris

Oleh: Suriati Ali

Projek pangsapuri kos rendah KP Perdana di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu dilaksanakan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sudah habis dijual kepada penduduk tempatan.

Pangsapuri yang mengandungi 120 unit rumah dan berkelulusan 700 kaki persegi seunit itu mendapat permintaan mengalakkan daripada pembeli berpendapatan rendah, sejak penjualan dibuka kepada pembeli yang layak.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda berkata, projek yang membabitkan kos keseluruhan bernilai RM7.8 juta itu sedang menunggu kelulusan Sijil Menduduki (CF) dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan dijangka memperolehinya dapat tempoh terdekat.

“Rumah tersebut dijual pada harga RM65,000 seunit ditawarkan kepada pembeli yang disenaraikan oleh bahagian perumahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Apa yang membanggakan, rata-rata mereka bersetuju dengan harga itu kerana lokasinya berdekatan dengan pelbagai kemudahan yang terdapat di bandar raya Kuala Terengganu,”katanya kepada Teganukita.

PMINT akan meneruskan beberapa projek lagi di kawasan KP Perdana, termasuk membina gelanggang futsal, dewan orang ramai dan sebagainya semata-mata mahu memberi keselesaan kepada pembeli.