Halaman

24 June 2012

Pas semakin cacamarba

Oleh: Aida Abd Rahman

Parti Pas sebuah parti yang semakin `cacamarba' dan tiada pendirian teguh dalam menetapkan sesuatu keputusan.

Dasar kepimpinan Pas sememangnya ` tidak boleh pegang buku’ sebagaimana diterjemahkan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat , suatu masa dulu melarang rakyat wanita di negeri itu menyertai pertandingan tilawah al-Quran bagi menjaga aurat kaum muslimah dari negeri yang mendapat jolokan `Serambi Mekah’ itu .

Bagaimanapun kini, Nik Aziz seakan `kendur’ dengan ketegasannya apabila sudah membuka pintu hati untuk mengubah pendirian sejak 20 tahun lalu daripada `haram’ kepada `halal’ selepas membenarkan wanita dari negeri jajahannya menyertai pertandingan tilawah bermula tahun depan.

Mursyidul Am Pas yang ditemui pemberita di Ekspo Perdagangan Dunia Islam dan Konvensyen Halal Berasakan Dinar dan Dirham, di Kota Bharu, baru-baru ini menjelaskan `keputusan baru’ itu bersandarkan situasi di mana sebelum ini wanita di Kelantan belum memahami erti sebenar aurat menyebabkan kerajaan negeri bertindak melarang mereka menyertai tilawah al-Quran sejak lebih 20 tahun lepas.

Katanya, larangan itu dibuat ketika Pas baru menerajui Kelantan pada 1990, di mana beliau berpendapat rakyat Kelantan pada masa itu masih tidak memahami Islam dengan mendalam.

"Waktu kita (Pas) pegang Kelantan dulu, tak ada beza lelaki dan perempuan.Rambut terbuka (tidak bertudung), kedai-kedai kerinting rambut banyak di Kota Bharu. Masing-masing nak tunjuk badan. Ini haram dalam Islam, bukan dalam Pas (sahaja). Itu aurat," ulasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Pas sebuah parti yang cacamarba berikutan gagal berpegang kepada hukum yang ditetapkan mereka dalam sesuatu perkara.

“Nik Aziz kata wanita Kelantan tidak boleh menyertai tilawah al-Quran sebab suara wanita aurat. Tetapi pemimpin parti mereka ada pula di kalangan wanita, berada di depan khalayak, berceramah dan mengata orang. Itu tidak aurat dan tidak haram pula,” katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dasar Kerajaan Pas Kelantan yang berubah-ubah berhubung penyertaan wanita dalam Tilawah al-Quran ternyata merugikan wanita Islam di negeri itu, menurut Pengerusi Umno Kelantan, Dato’ Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, larangan penyertaan wanita dalam Tilawah yang dibuat pada 1990 menyebabkan wanita Islam Kelantan rugi lebih 20 tahun dalam memberi sumbangan mereka terhadap acara tersebut.

"Keputusan Pas lebih kepada kepentingan politik, terburu-buru. Pada 1990 lain keputusannya dan pada 2012 lain pula keputusannya," katanya.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh pula berkata keputusan Kelantan yang kembali membenarkan wanita menyertai tilawah bermula tahun depan semata-mata bermotifkan politik dan mahu mengambil hati golongan wanita yang sekian lama dipinggirkan di negeri itu.
Katanya, kebenaran itu sebenarnya mahu mengambil hati mereka kerana PRU13 sudah semakin hampir.

Malah, bukan hanya pada isu tilawah al-Quran itu semata-mata, percanggahan pendapat yang sering berlaku di kalangan pemimpin Pas termasuk berkenaan isu masuk syurga jika mengundi parti itu pada pilihan raya juga membuktikan Pas sebuah ‘parti keliru’.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata, perbezaan pendapat yang ketara antara Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dengan Dato' Nik Abdul Aziz turut menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam termasuk penyokong Pas sendiri.

Oleh itu, tiba masanya seluruh umat Islam menilai dengan bijaksana percanggahan pendapat itu lebih-lebih lagi berkaitan peluang masuk syurga.

“Janganlah campurkan antara politik dengan agama sehingga bercanggah dengan ajaran Islam. Abdul Hadi kata lain, Nik Abdul Aziz pula kata lain. Mana boleh kalau undi Pas akan dapat masuk syurga," katanya.

Menteri Besar Terengganu mengulas percanggahan pendapat antara Abdul Hadi dengan Nik Abdul Aziz berhubung peluang masuk syurga sekiranya seseorang itu menyokong dan mengundi Pas pada pilihan raya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Abdul Hadi mengakui Pas tidak boleh menjanjikan syurga kepada mereka yang mengundi parti berkenaan pada pilihan raya malah parti itu tidak boleh berbuat demikian kerana syurga hanya hak Allah s.w.t.