Halaman

14 June 2012

Pemimpin Pas sanggup letak kepentingan parti paling atas.

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra




Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyifatkan sikap pemimpin Pas yang bercelaru dan terkeliru kerana sanggup meletakkan kepentingan parti politik melebihi perkara-perkara lain.

Katanya, hanya kerana ingin memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) sanggup minta tangguh untuk menunaikan Rukun Islam Kelima merupakan satu perkara sangat mengelirukan.

“Apakah kita sanggup tanggung dosa orang, kerana halang mereka pergi ke Makah untuk tunai haji semata-mata kerana nak mengundi,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas laporan beberapa akhbar dan media elektronik sebelum ini yang menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya supaya menangguhkan ibadah haji bagi menghadapi PRU Ke 13.

“Lagipun yang pergi menunaikan haji itu bukan semua orang Pas, malah orang UMNO lebih ramai saya rasa,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pesatuan Guru Kafa Terengganu (Perkat) di Wisma Darul Iman hari ini (14 Jun).

Menteri Besar kesal dengan kenyataan pemimpin Pas yang didakwa tahu dalam hukum hakam agama tetapi sering bercakap bersandarkan hukum politik yang dicipta.