Halaman

11 June 2012

Petani terharu terima bantuan bencana alam

Oleh: Suriati Ali

Sikap tanpa jemu membantu dan menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat dan bangsa, membuatkan barisan kepimpinan kerajaan Terengganu terus dikagumi.

Terbaru, usaha kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu mendapatkan bantuan bencana alam kira-kira RM228,000 dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mampu membantu meringankan beban 31 petani yang mengalami kerugian akibat banjir pada Disember tahun lalu.



Golongan petani dari Kampung Tok Adis, Kuala Terengganu itu, masing-masing menerima bantuan antara RM600 hingga RM38,000.

Bantuan yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said disambut dengan linangan air mata oleh penerima yang hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Alam Kepada Petani di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Farid Wan Salleh; Ketua Pergerakan Pemuda Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki dan pemimpin setempat.

Mereka dilihat tidak putus-putus melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana nasib dan kerugian yang ditanggung akibat bencana itu terbela dan difahami kerajaan Terengganu.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri prihatin dengan nasib mereka yang rata-ratanya bergantung hidup kepada hasil tanah sejak bertahun lamanya.

Katanya, mereka perlu dibantu bagi memulihkan semangat supaya terus berbakti kepada tanah.

“Kita tidak zalim, jika mengetahui ada rakyat mengalami kesukaran hidup atau ditimpa musibah, tanpa berfikir panjang terus membantu sama ada dalam bentuk sokongan moral atau bantuan kewangan, “ katanya ketika berucap di majlis itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri mengeluarkan belanja ratusan juta pada setiap tahun bagi mengatasi masalah bencana alam, termasuk membina tebatan banjir, menambah longkang dan saliran.

“Walaupun masalah itu ditimbulkan pihak lain seperti menambun tanah tidak memenuhi syarat sehingga mengakibatkan banjir di lokasi tertentu turut menjadi tanggungjawab kerajaan kerana tidak mahu rakyat susah.

“Kadang-kala bila difikirkan kembali, ianya tidak adil kerana pihak terbabit dengan mudah mengaut keuntungaan, kita yang menanggung kerugian, tetapi kita tidak mempedulikannya, asalkan rakyat senang, kerajaan ambil tanggungjawab itu.,” katanya.