Halaman

08 June 2012

Petronas, Agro Bank sumbang RM45,000 mangsa ribut

Oleh FAUZI MOHD

Nasib 92 keluarga di tujuh kampung di Dewan Undangan Negeri Kijal, Kemaman yang rumah mereka rosak akibat kejadian ribut pertengahan bulan lalu mendapat perhatian syarikat korporat, Petronas dan Agro Bank.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said turun padang menyampaikan sumbangan kepada keluarga terlibat di Sekolah Kebangsaan Bukit Anak Dara, Kemaman hari ini.



Prihatin terhadap mangsa bencana alam itu, Petronas tampil dengan sumbangan berbentuk barangan dapur bernilai RM30,000 dan Agro Bank menghulurkan wang tunai berjumlah RM15,000.

Kejadian telah mengakibatkan kerosakan 39 buah rumah kediaman di Kampung Bukit Anak Dara, Titian Berayun (32), Ibai Penunjuk (6), Kampung Tengah (5), Kampung Darat (5), Kampung Che Wan (4) dan sebuah di Teluk Kalong.

Dato' Seri Ahmad berkata, 84 buah rumah dari jumlah terbabit telah siap dibaiki, 5 buah masih dalam pembaikian dan tiga lagi melibatkan pembinaan rumah baru bernilai RM33,000 setiap satu akan bermula minggu depan.



"Rumah penduduk yang rosak telah siap dibaiki dan tiga buah rumah yang 100 peratus musnah akan diberikan rumah baru," katanya kepada pemberita.



Turut hadir, Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.



Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan Bantuan Niaga peringkat kedua kepada 106 penerima di DUN berkenaan melibatkan usahawan dan peniaga kecil dari 19 buah kampung.