Halaman

25 June 2012

LED Dataran Shahbandar beri manfaat kepada orang ramai

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan Skrin Layar Besar (LED) di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu mampu memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat terutama apabila tiba kejohanan tertentu termasuk perlawanan bola sepak.

Datuk Bandar MBKT, Dato' Mohd. Adzlan Dagang, berkata kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM800,000 untuk menyediakan LED yang siap dibina awal tahun 2010 itu.

“Sejak wujudnya skrin itu pelbagai agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Berkanun (NGO) tampil untuk bekerjasama menganjurkan aktiviti berbentuk kekeluargaan dan kemasyarakatan.

“Langkah itu secara tidak langsung mahu menghidupkan suasana malam di Dataran Shahbandar yang sebelum ini agak suram dengan sebarang aktiviti,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, lokasi itu bertambah meriah apabila berlangsungnya kejohanan dan perlawanan tertentu seperti Kapal Layar Piala Monsun, Bola Sepak Piala Dunia dan yang hangat sekarang ini iaitu `demam bola’ Euro 2012.

“Sejak perlawanan Euro 2012 berlangsung, Dataran Shahbandar bagaikan menjadi pilihan utama penduduk setempat terutama golongan belia, setiap kali pasukan kesayangan masing-masing beraksi,” katanya.

Menurutnya, skrin itu merupakan salah satu alternatif memastikan kawasan bandar raya itu ‘hidup’, selain memastikan peningkatan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Skrin besar dibina untuk mencipta keindahan kawasan di Shahbandar dan orang ramai boleh membawa keluarga untuk meluangkan masa di sana. Kita turut menyediakan program Astro.

“Kita atur supaya malam di Kuala Terengganu lebih hidup dan usaha ini untuk memastikan gejala mat rempit berkurangan,” katanya.