Halaman

14 June 2012

Sedia bantu petani tanam pokok petai belalang-MB

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan menanam pokok Petai Belalang atau nama saintifiknya Leucaena leucocephala dan Acacia Mangium bermula bulan depan bagi menampung keperluan Kompleks Biopenapisan di Taman Polimer, Kertih.

Bagi tujuan itu, sejumlah 30,000 hektar tanah disediakan di mana ia mampu menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu dari pokok itu pada setiap tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sekiranya projek itu berjaya dan menguntungkan, kerajaan negeri akan sarankan petani di negeri ini menanam pokok berkenaan dengan menyediakan tanah untuk mereka antara tiga hingga lima hektar seorang.

“Kita akan galakkan mereka menanam pokok-pokok berkenaan kerana Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia ini memerlukan bahan mentah itu dalam kuantiti yang banyak untuk menghasilkan produk-produk terbitan bio (bioderivatif) seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama bagi pembangunan Kompleks Biopenapisan antara kerajaan negeri Terengganu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) di Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Setiausahanya Datuk Mazlan Ngah manakala ECERDC oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Jebasingam Issace John manakala BiotechCorp diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata pembinaan Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia di kawasan seluas 1,000 hektar itu bermula bulan depan dan dijangka siap dan beroperasi pada 2014.

“Taman Biopolimer Kertih merupakan antara projek utama Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) yang menawarkan peluang pelaburan dan sinergi yang meluas kepada peserta industri bioteknologi.

“Kedudukannya yang berhampiran dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih milik Petronas membolehkan pembekalan produk secara bersilang antara kedua-dua kompleks yang pada masa sama menawarkan ekonomi yang menguntungkan bagi pembekalan utiliti dan logistic,”katanya.