05 Jun 2012

Semak status tempat mengundi, elak alamat `berpindah'

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua pengundi yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menyemak status tempat mengundi masing-masing dengan SPR bagi mengelak sebarang kekalutan yang boleh menjejaskan kelicinan proses pilihan raya nanti.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata semakan pendaftaran itu dibuka sepanjang tempoh sebulan bermula 1 hingga 30 Jun dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada 15888, selain menyemak menerusi laman web SPR ataupun datang terus ke pejabat SPR berhampiran.

“Kita hendak sangat rakyat seluruh negara yang berdaftar sebagai pengundi dengan SPR supaya membuat semakan daftar pemilih.

“Generasi muda serta generasi lama sekarang pasti memiliki telefon bimbit dan buatlah semakan daftar pemilih dalam tempoh sebulan ini kerana apabila membuat semakan barulah mereka tahu di mana mereka mendaftar dan di mana mereka mengundi,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam (5 Jun).

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, banyak aduan di kalangan pengundi kebelakangan ini bahawa mereka tidak menyedari alamat mengundi mereka `berpindah’ ke lokasi lain.

Bagaimanapun, beliau percaya kejadian `berpindah’ alamat itu sebenarnya disedari oleh pengundi itu sendiri kerana individu berkenaan yang perlu mengisi borang untuk perpindahan tempat mengundi atau pertukaran alamat dan tidak boleh dilakukan oleh pihak lain.

“Ramai pengundi menyatakan mereka tidak sedar `dipindahkan’, SPR hairan juga kerana kita terima borang permohonan pertukaran alamat dan proses sebagai bertukar alamat. Kita tidak proses sewenang-wenang tanpa menerima borang pertukaran alamat.

“Tetapi ada yang menyatakan tempat mengundi bertukar tanpa pengetahuannya. Jadi, kalau betul begitu mereka kena semak hari ini juga. Kalau betul dia tidak tahu yang dia dipindahkan tanpa pengetahuan oleh sesiapa yang tidak bertanggungjawab dia perlu segera ke pejabat pos bagi menukar semula alamat berdasarkan alamat kad pengenalan,” katanya.

Menurutnya, SPR tidak mahu sekiranya kejadian `berpindah’ alamat tanpa disedari pengundi boleh menimbulkan kekecohan apabila tiba hari pengundian sebenar selepas mendapati nama mereka tiada di tempat mengundi nanti.

Untuk rekod, seramai 611,583 pengundi berdaftar di seluruh Terengganu dengan pertambahan pengundi baru selepas PRU12 sehingga kini kira-kira 100,000 orang di mana 35 peratus daripadanya merupakan pengundi muda.

Sementara itu, seramai 12,912,590 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.







Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...