Halaman

25 June 2012

Sukma 2012 : Bola tampar optimis lakar sejarah kutip emas pertama

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Tampar Negeri Terengganu (Tava) optimis memberi saingan sengit bagi merangkul pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang akan berlangsung di Pahang bermula 7 hingga 16 Julai ini.

Setiausaha Tava, Mohd Nasir Yusof berkata keyakinan itu berdasarkan pencapaian pemain pasukan lelaki yang begitu memberangsangkan dalam kejohanan bola tampar yang diadakan sebelum ini.

"Saya yakin berdasarkan rekod kejohanan yang disertai sejak Mac lalu, antaranya bawah 19 tahun kebangsaan apabila Terengganu menjadi juara, kita mampu membawa sinar ini ke Sukma di Pahang," katanya hari ini.

Mohd Nasir berkata, Tava akan menampilkan pasukan terbaik bagi memastikan sasaran untuk merangkul pingat emas pertama, sekali gus membantu kontingen Terengganu mencapai sasaran mengutip 47 pingat emas akan tercapai.

Beliau berkata, bagi memantapkan pasukan Terengganu, Tava mengambil langkah drastik memindahkan gelanggang latihan ke Shah Alam, Selangor dengan mengadakan latihan intensif di bawah kendalian bekas penolong jurulatih kebangsaan, Zulkifli Azmi.

"Berdasarkan undian pasukan yang dijalankan baru-baru ini, Terengganu ditempatkan dalam kumpulan B bersama-sama Selangor, Pahang, Perlis, Wilayah Persekutuan dan Sabah," ujarnya.