Halaman

08 June 2012

TDM bayar dividen RM29 juta

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Anak syarikat kerajaan Terengganu, Terengganu Development Management (TDM) Berhad mencatat rekod bayaran dividen tertinggi sejak 2007 berjumlah lebih RM29 juta.

Bayaran itu diagih kepada enam agensi milik kerajaan negeri iaitu Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebanyak RM21,649,740.44, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (RM6,068,000), Permodalan Terengganu Berhad (RM692,270),

Yayasan Terengganu (RM370,000), Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (RM161,122.79) dan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (RM88.015.60).

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata bayaran itu dijangka meningkat tahun depan susulan pertambahan keuntungan yang dicatat pada suku pertama tahun ini.

"Kita percaya bahawa dengan keluaran hasil kelapa sawit yang kini bertambah baik dengan harga yang agak stabil, akan datang kemungkinan pengumuman dividen dan keuntungan pastinya akan bertambah.

"TDM telah mencatatkan keuntungan suku pertama 2012 ini sebanyak 25 juta," katanya yang sebelum itu menerima cek dividen tersebut daripada Pengerusi TDM Datuk Roslan Awang Chik.

TDM mencatat keuntungan RM214 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2011.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Encik Badrul Hisham Mahari berkata jumlah bayaran tersebut meliputi 30 peratus daripada keuntungan bersih syarikat.

Pada majlis sama, TDM turut mengagihkan RM3,872,768 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW) dan RM932,568 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)sebagai bayaran perkongsian untung.

Jumlah itu juga merupakan bayaran perkongsian untung tertinggi pernah dibayar semenjak perjanjian TDM menjalinkan usahasama dengan kedua-dua agensi pada tahun 1996 dan 1997 masing-masing, bagi mengusahakan tanaman kelapa sawit di atas tanah milik LTAW dan Maidam